Mohammad Noorazmin (kiri) dan Mohammad Noor Nazufiq.
Dua beradik yang baru mendapat lesen B penuh dan membeli motosikal berkuasa tinggi, maut apabila motosikal ditunggang mereka merempuh belakang lori berhampiran susur keluar Plaza Tol Ipoh Utara di Kilometer 270 Lebuh raya Utara-Selatan, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohammad Noornazmin Mohd Norzri, 20, yang menunggang motosikal Kawasaki ER650, maut di tempat kejadian akibat parah di perut dan kepala, manakala adiknya, Mohammad Noornazafiq, 18, yang membonceng, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kira-kira dua jam kemudian.
Sebelum kejadian, dua beradik dari Kampung Ramuan Cina Kechil Melaka itu menyertai konvoi 15 motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, difahamkan motosikal dinaiki dua beradik itu berada di tengah konvoi berkenaan sebelum terbabit dalam kemalangan.
Sementara itu, ibu mangsa, Norhiah Abdul Rashid, berkata beliau berasa `tidak sedap hati' apabila Mohamad Noornazmin berhasrat menyertai konvoi itu bersama adiknya kerana baru saja mendapat lesen B pada April lalu dan motosikal ditunggangnya itu pula baru dibeli bulan lalu.
“Saya meminta dia membatalkan hasrat menyertai konvoi itu, namun dia bersungguh-sungguh mahu menyertainya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HRPB, semalam.
Norhiah berkata, dia sempat menghubungi telefon bimbit anaknya itu sebelum ke pasar pagi semalam dan Mohamad Noornazmin memberitahunya sudah tiba di Putrajaya dari Melaka.
“Paling menyedihkan apabila Mohamad Noornazafiq yang baru saja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal mendaftar di Kolej Antarabangsa Kejururawatan dan Sains Kesihatan KPJ esok,” katanya.
Bapa mangsa, Mohd Norzri Mohd Nordin, berkata jenazah dua beradik itu dihantar pulang ke Kampung Ramuan Cina Kechil untuk dikebumikan kira-kira jam 5 petang semalam.



0 comments:
Post a Comment